
16 February 2026 – Politeknik Brunei telah mengadakan Acara Menaikkan Bendera Negara Brunei Darussalam sempena Sambutan Hari Kebangsaan Negara Brunei Darussalam ke-42 Tahun 2026 peringkat institusi, yang berlangsung di pekarangan hadapan bangunan Politeknik Brunei.
Majlis ini bertujuan untuk memeriahkan sambutan Hari Kebangsaan di samping meningkatkan penghayatan terhadap erti kemerdekaan serta mengukuhkan semangat patriotisme dan cinta akan negara dalam kalangan warga Politeknik Brunei.
Acara telah disempurnakan oleh Tetamu Kehormat, Yang Mulia Pengiran Dr. Saiful Baharin bin Pengiran Haji Duraman, Pemangku Pengarah Politeknik Brunei. Dalam majlis tersebut, beliau turut menyempurnakan penyerahan Bendera Negara Brunei Darussalam kepada 96142 KPL KT Muhd Hamizul Aqim bin Mohd Saiful Hasdi, Kadet Tentera Politeknik Brunei.
Upacara menaikkan bendera diiringi dengan nyanyian Lagu Kebangsaan “Allah Peliharakan Sultan” dan diserikan dengan persembahan koir lagu patriotik “Berkibarlah Bendera”.
Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah dan Doa Selamat yang dipimpin oleh 96149 KPL KT Muhammad Waqqas bin Haji Said Ghalib Khan, selaku Pengerusi Biro Keagamaan dan Kerohanian, Majlis Perwakilan Pelajar Sesi 2025/2026.
Turut hadir ialah warga Politeknik Brunei yang terdiri daripada Ketua-Ketua Bahagian, Ketua-Ketua Sekolah, pegawai dan kakitangan, pensyarah, serta para pelajar.
Acara ini dianjurkan oleh Majlis Perwakilan Pelajar Politeknik Brunei dengan kerjasama Bahagian Hal Ehwal Pelajar dan Pasukan Kadet Tentera Politeknik Brunei.





