6 Oktober 2025 – Sempena Majlis Konvokesyen Politeknik Brunei Ke-11, Politeknik Brunei telah mengadakan Majlis Perasmian Kelestarian@PB yang berlangsung di Kampus Ong Sum Ping, Politeknik Brunei (PB).

Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah, diikuti dengan perasmian Kelestarian@PB oleh Pemangku Pengarah Politeknik Brunei. Bertemakan “Kelestarian Budaya Hidup Belia Kita”, inisiatif ini menumpukan usaha memperkukuh nilai kelestarian dalam kehidupan seharian, selaras dengan Wawasan Brunei 2035.

Majlis ini turut diserikan dengan keberangkatan hadir Yang Mulia Pg Dr Saiful Baharin bin Pg Duraman selaku Tetamu Kehormat, yang juga berkenan menyampaikan ucapan.

Inisiatif ini bertujuan untuk menerapkan budaya kelestarian dalam kalangan pelajar dan warga Politeknik Brunei khususnya, serta belia amnya, melalui aktiviti-aktiviti harian mereka. Langkah ini selaras dengan matlamat Wawasan Brunei 2035 untuk mewujudkan rakyat yang memiliki kualiti hidup tinggi dalam persekitaran lestari. Hampir semua aktiviti dalam Pesta Konvo 2025 akan dilaksanakan dengan mengambil kira aspek kelestarian, agar setiap program menyokong pemeliharaan alam sekitar serta menggalakkan amalan hijau di kalangan peserta.

Acara ini dapat memberi manfaat yang besar kepada pelajar, bukan sahaja dari segi pengalaman dan pendedahan, tetapi juga dalam memupuk nilai kerjasama, semangat perpaduan, serta kesedaran tentang kepentingan kelestarian. Harapan kami juga agar Pesta Konvo 2025 dijadikan sebagai platform berterusan yang dapat memperkukuh hubungan warga Politeknik Brunei dengan masyarakat, di samping melahirkan pelajar yang berdaya saing dan berwawasan.

Orang ramai pun berkunjung beramai-ramai ke Kelestarian@PB bagi memeriahkan lagi Majlis Konvokesyen Politeknik Brunei pada tahun ini dengan menyaksikan pameran projek pelajar, berkunjung ke jualaneka, serta menyokong usahawan-usahawan mikro dan kecil tempatan.

Kelestarian@PB telah berlangsung dari 6 hingga 9 Oktober 2025, menampilkan pameran Projek Tahun Akhir, jualan beraneka, serta taklimat kerjaya yang merangkumi taklimat MSME BIBD, proses pengambilan pegawai dan rekrut Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB), proses pengambilan Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB), serta perkongsian Alumni Cemerlang PB khusus untuk para penuntut dan bakal graduan. 

Selain itu, kempen menderma darah oleh Sekolah Sains Kesihatan dengan kerjasama Pusat Perubatan Jerudong Park (JPMC) juga telah diadakan pada Hari Selasa, 7 Oktober 2025.