
29 Oktober 2025 – Sekolah Teknologi Maklumat dan Komunikasi (SICT) serta Sekolah Perdagangan (SBS), Politeknik Brunei telah menganjurkan “Pameran Projek Akhir Tahun Semester 1, Sesi 2025/2026”, berteraskan tema “Unity in Diversity”, yang mengetengahkan kreativiti, pemikiran kritis dan keupayaan menyelesaikan masalah dalam kalangan pelajar merentasi pelbagai bidang kepakaran.
Acara ini dikendalikan oleh pelajar tahun akhir daripada Program Diploma in Business Studies (Human Resource Management) pengambilan ke-12 serta Program Diploma in Human Capital Management, Diploma in Entrepreneurship and Marketing Strategies, Diploma in Digital Arts and Media, Diploma in Application Development, Diploma in Cloud and Networking, dan Diploma in Data Analytics pengambilan ke-13 (Januari).
Majlis pameran ini telah disempurnakan dengan kehadiran Yang Mulia Adna Shatriremie bin Haji A. Abdul Rahman, Ketua Pusat Inovasi Keusahawanan (Head of Entrepreneurship Innovation Centre), Kementerian Pendidikan, selaku Tetamu Kehormat, yang telah merasmikan acara serta menyempurnakan penyampaian sijil penghargaan kepada para pelajar.
Pameran ini berperanan sebagai platform penting bagi pelajar untuk mempamerkan hasil kajian, kemahiran teknikal serta kreativiti yang telah dibangunkan sepanjang tempoh pengajian mereka. Ia telah memberikan pengiktirafan terhadap pencapaian pelajar dalam bidang perdagangan, media serta teknologi maklumat dan komunikasi, sambil membuka ruang kepada pertukaran idea dan pemikiran inovatif.
Selaras dengan tema “Unity in Diversity”, pameran ini menonjolkan kepelbagaian program pengajian yang saling melengkapi dalam membentuk penyelesaian masa depan yang lebih mampan dan berdaya saing. Acara ini juga telah menjadi jambatan penghubung antara pelajar, pakar industri dan ahli akademik bagi memperkukuhkan jaringan profesional, kerjasama strategik serta perkongsian pengetahuan yang berimpak.







