Politeknik Brunei juga tidak ketinggalan untuk mengadakan Acara Menaikkan Bendera Negara Brunei Darussalam Sempena Hari Kebangsaan Negara Brunei Darussalam ke-41 tahun 2025 Peringkat Politeknik Brunei yang telah diadakan pada hari Isnin, 17 Februari 2025 jam 9.00 pagi bertempat di perkarangan hadapan bangunan Politeknik Brunei.

Majlis tersebut bertujuan untuk memeriahkan Sambutan Hari Kebangsaan Negara Brunei Darussalam Ke-41 dengan meningkatkan penghayatan terhadap kemerdekaan tanah air Negara Brunei Darussalam serta mengukuhkan semangat patriotik dan cintakan negara.

Acara ini disempurnakan oleh tetamu kehormat Majlis, Pg Dr Saiful Baharin bin Pg Haji Duraman, Pemangku Pengarah, Politeknik Brunei dengan penyerahan bendera Negara Brunei Darussalam kepada 96105 SJN KT Nasroy Efesus Petrus Tikom, Kadet Tentera Politeknik Brunei. Turut hadir menyaksikan penyerahan tersebut ialah dua orang jurulatih Kadet Tentera 17163 PW2 Athraba bin Haji Buntan dan 16753 SJN Md Noor bin Haji Nordin.

Acara menaikkan bendera diiringi dengan nyanyian lagu kebangsaan ‘Allah Peliharakan Sultan’ dan dimeriahkan lagi dengan nyanyian koir lagu patriotik ‘Berkibarlah Bendera’.

Acara dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah dan Doa Selamat yang diketuai oleh Mohammad Hafidzzuddin Bin Mohd Ridzuan, Ahli Majlis Perwakilan Pelajar Sesi 2024/2025.

Acara ini juga dihadiri oleh warga Politeknik Brunei terdiri daripada Ketua-Ketua Bahagian, Ketua-ketua Sekolah, Pegawai-pegawai, Kakitangan dan pelajar-pelajar Politeknik Brunei.

Aacra ini telah dianjurkan oleh Majlis Pewakilan Pelajar Politeknik Brunei dengan usahasama Bahagian Hal Ehwal Pelajar dan Pasukan Tentera Kadet Politeknik Brunei.