Politeknik Brunei (PB) dan The Institution of Mechanical Engineers Brunei Group (IMechE BruG) pada hari ini telah menandatangani satu Memorandum Persefahaman (MoU) secara maya (virtual).  Majlis Penandatanganan bagi pihak Politeknik Brunei telah berlangsung di Tingkat 9, Politeknik Brunei, Kampus Utama, Jalan Ong Sum Ping, Bandar Seri Begawan manakala bagi pihak The Institution of Mechanical Engineers Brunei Group (IMechE BruG), majlis tersebut telah diadakan di Regional Consultants, Unit 27, Ground Floor, BT Complex, Berakas. 

Memorandum Persefahaman tersebut telah ditandatangani oleh Yang Mulia Awang Lim Kian Boon, Pemangku Pengarah, Politeknik Brunei bagi mewakili PB dan Yang Mulia Ir. Awang Haji Hamidon bin Haji Mohd Tahir, Pengerusi Kehormat (Honorary Chair), The Institution of Mechanical Engineers Brunei Group bagi wakil IMech BruG. 

Turut menyaksikan penandatanganan tersebut bagi pihak Politeknik Brunei adalah Yang Mulia Awang Haji Mohammad Reizal bin Mohammad Ali, Ketua Sekolah Sains dan Kejuruteraan (School of Science and Engineering), PB dan wakil daripada pihak The Institution of Mechanical Engineers Brunei Group adalah Yang Mulia Ir. Awang Haji Abdul Rahman bin Haji Modin, Setiausaha Kehormat (Honorary Secretary), IMechE BruG.

Majlis tersebut telah dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah dan Doa Selamat oleh Ustaz Haji Jaafar bin Haji Johari.  Ini diikuti dengan ucapan alu-aluan daripada Yang Mulia Pemangku Pengarah PB dan juga ucapan daripada Yang Mulia Pengerusi Kehormat, IMechE.  Majlis tersebut seterusnya diserikan dengan Majlis Penandatanganan Memorandum Persefahaman di antara PB dan IMechE BruG. 

Dalam majlis tersebut juga, Yang Mulia Awang Haji Hamidon, Pengerusi Kehormat, IMechE BruG telahpun menyampaikan Sijil Rasmi IMechE Student Chapter-PB secara maya kepada Yang Mulia Awang Lim Kian Boon, Pemangku Pengarah, PB. 

Objektif utama penandatanganan Memorandum Persefahaman (MOU) tersebut adalah bagi menubuhkan, mempromosikan dan membangunkan kerjasama di antara kedua belah pihak dalam bidang kejuruteraan mekanikal.  Melalui MOU tersebut, kedua belah pihak telah bersetuju untuk menubuhkan IMechE PB Student Chapter iaitu satu persatuan khusus bagi pelajar-pelajar PB untuk mempelajari dan membangun kemahiran kepimpinan, mengadakan rangkaian dan peluang mentoring secara profesional.  Di samping itu, melalui MOU ini, pelajar-pelajar PB adalah digalakkan untuk menjadi ahli kepada IMechE.

This entry was posted in News and tagged .