• TAKLIMAT MENGENAI 'MENGHAYATI BENDERA NEGARA DAN LAGU KEBANGSAAN' DI SEKOLAH SAINS DAN KEJURUTERAAN POLITEKNIK BRUNEI

  •  

     

    TERAP SEMANGAT KENEGARAAN DALAM KALANGAN PENUNTUT

     

    LUMUT, Rabu, 13 Januari. ­ Seramai 155 pelajar dan tenaga pengajar Sekolah Sains dan Kejuruteraan, Politeknik Lumut menghadiri Taklimat Kenegaraan 'Menghayati Bendera Negara dan Lagu Kebangsaan' yang diadakan di Dewan Teater sekolah berkenaan, di sini. Taklimat berkenaan merupakan program kendalian Jabatan Penerangan, Jabatan Perdana Menteri melalui Jabatan Penerangan Cawangan Daerah Belait bagi sekolah­sekolah menengah dan Institusi Pengajian Tinggi seluruh negara 2016. Program berkenaan dihasratkan untuk meningkatkan kefahaman dan semangat patriotisme para pelajar mengenai Lagu Kebangsaan dan Bendera Negara Brunei Darussalam.

     

    Pelajar Sekolah Sains dan Kejuruteraan Politeknik Lumut bergambar ramai sempena Program Taklimat Kenegaraan Menghayati Bendera Negara dan Lagu Kebangsaan anjuran Jabatan Penerangan.

     

    Ini merupakan salah satu usaha berterusan Jabatan Penerangan dalam menyemai semangat patriotisme para pelajar untuk menghormati serta menjiwai lagu kebangsaan dan bendera negara. Bendera merupakan lambang identiti sesebuah negara dan sesuatu bangsa, ia juga menjadi lambang kesepakatan dan perpaduan yang mempunyai kemuliaan, keagungan dan martabatnya yang tersendiri perlu mendapat pengiktirafan dan penghormatan oleh setiap bangsa dan negara di dunia. Sementara menyanyikan Lagu Kebangsaan 'Allah Peliharakan Sultan' dan menaik­kibarkan Bendera Negara Brunei Darussalam merupakan antara pendidikan awal para pelajar ke arah menimbulkan semangat kenegaraan serta kesedaran hidup berbangsa, beragama dan bernegara. Semangat cinta kepada Raja, agama, bangsa dan negara perlu disemai di peringkat generasi muda terutama pelajar­pelajar sekolah rendah, menengah serta institusi pengajian tinggi.

     

    Taklimat mengenai 'Menghayati Bendera Negara dan Lagu Kebangsaan' disampaikan oleh Pegawai Penerangan, Cawangan Penerangan Daerah Belait, Awang Mohammad Hisyam bin Idris.

     

    Sementara generasi muda perlu dilatih untuk memiliki semangat patriotisme mantap dan taat setia yang jitu serta kental yang tidak pernah akan goyah untuk menghadapi apa jua cabaran yang boleh memudaratkan bangsa dan negara. Selaku rakyat dan penduduk di negara ini adalah berkewajipan belajar mengenal, menghormati, menjaga dan memelihara maruah serta identiti negara. Taklimat mengenai 'Menghayati Bendera Negara dan Lagu Kebangsaan' disampaikan oleh Pegawai Penerangan, Cawangan Penerangan Daerah Belait, Awang Mohammad Hisyam bin Idris dan Pembantu Pegawai Luar Penerangan, Awang Ismale bin Abdul Rahman mengendalikan Kuiz Kenegaraan. Ketua Jabatan Jaminan Kualiti dan juga selaku Pemangku Ketua Sekolah Sains dan Kejuruteraan, Dr. Tang Shi Siong serta Penolong Ketua Sains dan Kejuruteraan Politeknik Lumut, Awang Haji Mohammad Reizal bin Mohammad Ali antara yang hadir pada taklimat tersebut.

     

    Seorang pelajar semasa menyertai Kuiz Kenegaraan.

     

    Pada taklimat itu, Awang Mohammad Hisyam antara lain menjelaskan dengan terperinci mengenai tatacara menaik­kibarkan bendera negara dan sejarah Lagu Kebangsaan Negara Brunei Darussalam 'Allah Peliharakan Sultan'. Beliau juga menjelaskan definisi, peranan dan mengenai sejarah bendera dan lagu kebangsaan negara. Menurut beliau, rakyat dan penduduk negara ini dikehendaki menaik­kibarkan (dan kemudian menurunkan) bendera negara pada waktu yang telah ditetapkan seperti kelaziman yang diumumkan melalui media massa kerajaan seperti Pelita Brunei serta Radio dan Televisyen Brunei. Tegasnya, bendera yang dinaikkan atau dikibarkan mestilah dalam keadaan baik dan sempurna, iaitu tidak koyak, tidak luntur atau pudar warnanya dan dipasang di tempat yang sesuai mengikut keadaan tempat.

     

 

search

Site Map | Terms of Use | Privacy | Disclaimer

© 2015 Politeknik Brunei. All Rights Reserved.