• MAJLIS PELANCARAN PROGRAM INOVASI BELIA BERWAWASAN (PIBB)

     

  • Khamis,01 Rabiulawal 1438 / 01 Disember 2016

     

     

    Belia adalah aset negara terpenting yang berperanan sebagai tunggak kekuatan negara selaku pewaris kepimpinan di masa akan datang. Bagi mencapai matlamat Wawasan Brunei 2035 iaitu kehidupan rakyat yang berkualiti tinggi, sebuah program membangun minda dan kemahiran belia-belia telah diperkenalkan iaitu “Program Inovasi Belia Berwawasan (PIBB)” yang dilancarkan pada pagi ini oleh Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Halbi bin Haji Md Yussof, Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan di Dewan Digadong, Bangunan Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan, Bandar Seri Begawan.

     

    Program ini merupakan kerjasama di antara Jabatan Pembangunan Masyarakat, Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan, dan Politeknik Brunei, Kementerian Pendidikan yang bertujuan untuk memperkasa jati diri dan minda serta meningkatkan kemahiran belia-belia dalam mengharungi kehidupan yang serba mencabar.

     

     

    Seramai 14 orang peserta yang terdiri daripada 10 orang peserta lelaki dan empat orang peserta perempuan yang berumur di antara 18 hingga 21 tahun adalah dipilih untuk mengikuti program ini yang akan mengambil masa selama 9 bulan yang terbahagi kepada tiga fasa iaitu:

     

    • 1. Fasa Pertama, Penghijrahan Diri dan Minda

    •     Para peserta akan mengikuti latihan di Program Khidmat Bakti Negara (PKBN) selama tiga bulan     bagi membangun jati diri dan minda para belia.


    • 2. Fasa Kedua, Latihan Kemahiran Asas Abad Ke 21

    •     Setelah tamat mengikuti PKBN, peserta akan mengikuti kemahiran asas pendidikan di Politeknik     Brunei. Di bawah fasa ini, latihan kemahiran akan dikendalikan secara gandingan “mentor-mentee”,     dimana setiap peserta akan digandingkan dengan seorang pelajar Politeknik Brunei sebagai     pembimbing.


    • 3. Fasa Ketiga, Penempatan Pekerjaan

    •     Para peserta akan menjalankan latihan industri di beberapa buah syarikat-syarikat swasta untuk     mendedahkan para peserta kepada alam pekerjaan yang sebenar dan seterusnya     mempertingkatkan peluang pekerjaan dan kebolehpasaran peserta.


    Program ini turut sama mendapat sokongan dan gandingan bahu daripada sektor kerajaan dan bukan kerajaan dalam sama-sama merealisasikan belia yang bermotivasi tinggi serta berdisiplin.

     

     

    Majlis dimulai dengan pelancaran tayangan video klip PIBB dan diikuti dengan menandatangani plaque kerjasama di antara Pemangku Pengarah Jabatan Pembangunan Masyarakat, Yang Mulia Dayang Rostinah binti Pehin Orang Kaya Seri Sura Pahlawan Dato Paduka Hj Mohd Tahir dan Awang Denis Ho Mun Tai, Pengarah Politeknik Brunei, Kementerian Pendidikan.

     

    Turut hadir pada majlis pelancaran ini, Yang Mulia Dr. Haji Junaidi bin Haji Abdul Rahman, Setiausaha Tetap (Pengajian Tinggi) Kementerian Pendidikan, Yang Mulia Dato Paduka Dr. Haji Affendy bin Pehin Orang Kaya Saiful Mulok Dato Seri Paduka Awang Haji Abidin, Setiasuaha Tetap Kementerian Kebudayaan Belia dan Sukan, Yang Mulia Datin Paduka Dr. Hajah Norlila binti Dato Paduka Haji Abdul Jalil, Setiausaha Tetap Kementerian Kebudayaan Belia dan Sukan, Ketua-Ketua Jabatan dan Pengarah-Pengarah di Kementerian Pendidikan dan Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan.

     

     

 

search

Site Map | Terms of Use | Privacy | Disclaimer

© 2016 Politeknik Brunei. All Rights Reserved.