• ACARA PEMBUKAAN RASMI KARNIVAL KONVO POLITEKNIK BRUNEI SEMPENA MAJLIS KONVOKESYEN POLITEKNIK BRUNEI KALI KEDUA TAHUN 2016

  •  

     

    SIARAN AKHBAR

     

    Bandar Seri Begawan, Hari Jumaat, 15 Januari 2016 / 05 Rabiulakhir 1437H.

     

    Politeknik Brunei hari ini telah mengadakan Acara Pembukaan Rasmi Karnival Konvo Politeknik Brunei sempena Majlis Konvokesyen Politeknik Brunei Kali Kedua Tahun 2016 di Kawasan Letak Kereta, Jalan Bendahara, Bandar Seri Begawan (berhadapan dengan Bangunan Alat-Alat Kebesaran DiRaja).

     

    Karnival Konvo Politeknik Brunei adalah salah satu acara kemuncak sempena Majlis Konvokesyen Politeknik Brunei Kali Kedua Tahun 2016 bagi bakal-bakal graduan pengambilan ketiga dan merupakan acara pengisian tahunan yang diadakan bagi memeriahkan lagi Majlis Konvokesyen Politeknik Brunei Kali Kedua pada tahun ini. Pada tahun ini, Karnival Konvo akan berlangsung selama 5 hari mulai 15 Januari 2016 hingga 19 Januari 2016.

     

    Karnival Konvo Politeknik Brunei pada tahun ini bertemakan “Membudayakan Keusahawanan” adalah bagi menyahut saranan titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam bagi menggalakkan rakyat negara ini terutamanya para belia untuk berkecimpung dalam bidang keusahawanan dan perniagaan.

     

    Hadir selaku tetamu kehormat ialah Pemangku Pengarah Politeknik Brunei, Awang Denis Ho Mun Tai. Turut hadir ialah Pemangku Penolong Pengarah Politeknik Brunei, Awang Alias bin Haji Abu Bakar dan Ketua-Ketua Jabatan dan Sekolah Politeknik Brunei serta para pensyarah, pegawai dan kakitangan serta pelajar dari Politeknik Brunei.

     

    Antara acara-acara yang telah diatur sepanjang Karnival Konvo diadakan adalah gerai-gerai jualan dan pameran serta persembahan-persembahan kebudayaan. Orang ramai adalah dialu-alukan untuk hadir dan seterusnya memeriahkan lagi acara Karnival Konvo Politeknik Brunei.

     

    Karnival Konvo tahun ini telah diungkayahkan oleh Pusat Perkembangan dan Innovasi Pelajar, Politeknik Brunei.

     

    ----------------------------------------------------------------------------------

     

    Dikeluarkan oleh: Jabatan Antarabangsa & Perhubungan Awam, Politeknik Brunei

     

    Tarikh: 13 Januari 2016

     

    Tel: +6732234466 ext 316 Fax: +6732234469

     

    Laman Sesawang: http://www.pb.edu.bn

     

 

search

Site Map | Terms of Use | Privacy | Disclaimer

© 2015 Politeknik Brunei. All Rights Reserved.