• MAJLIS KONVOKESYEN POLITEKNIK BRUNEI KE-3

     

  • Khamis, 26 Januari 2017

     

    Politeknik Brunei pada pagi ini telah berjaya mengendalikan Majlis Konvokesyen Politeknik Brunei Ke-3 tahun 2017 bertempat di Dewan Canselor, Universiti Brunei Darussalam. Seramai 375 orang graduan (136 orang graduan lelaki dan 239 orang graduan perempuan) dari sesi pengambilan ke-empat, tahun pengajian 2014 telah menerima sijil Diploma Lanjutan masing-masing di majlis tersebut. Pelajar-pelajar tersebut telahpun tamat menghadiri program pengajian masing-masing selama dua (2) tahun yang telah ditawarkan oleh sekolah-sekolah di bawah Politeknik Brunei iaitu Sekolah Perdagangan, Sekolah Infomasi Komunikasi dan Teknologi (ICT), dan Sekolah Sains dan Kejuruteraan. Diploma Lanjutan adalah diiktiraf oleh Kementerian Pendidikan melalui Majlis Kebangsaan Pengiktirafan Kelulusan (MKPK) yang sebanding dengan kelulusan BTEC Higher National Diploma (HND).

     

    Majlis Konvokesyen tersebut dimulakan dengan perarakan gaduan masuk ke Dewan dan perarakan besar masuk ke Dewan yang terdiri oleh Ahli-Ahli Majlis Lembaga Pengelola, ahli-ahli Senat, pegawai-pegawai utama dan pensyarah-pensyarah dari Politeknik Brunei dan seterusnya diikuti dengan kehadiran wakil peribadi Tetamu Kehormat Majlis, Yang Berhormat Menteri Pendidikan, Yang Mulia Pengiran Dato Paduka Haji Bahrom bin Pengiran Haji Bahar, Timbalan Menteri Pendidikan yang juga Pengerusi Lembaga Pengelola Politeknik Brunei.

     

    Majlis Konvokesyen itu diserikan dengan bacaan ayat-ayat Suci Al-Quran yang disampaikan oleh Yang Mulia Awangku Adi Nazri bin Pengiran Haji Jofri, Pelajar Tahun 2 Diploma in Business Finance dari sesi pengambilan ke-lima, yang juga pemenang ketiga Musabaqah Tilawatil Al-Qur'an Belia Asia Tenggara Tahun 2015. Intisari ayat dibacakan oleh Yang Mulia Awangku Abdul Hakim bin Pengiran Hamdillah, pelajar tahun pertama Diploma in Business Studies dari sesi pengambil ke-enam.

     

    Majlis tersebut diikuti dengan ucapan alu-aluan daripada Yang Mulia Pengarah Politeknik Brunei, Awang Denis Ho Mun Tai selaku Pengerusi Jawatankuasa Kerja Tertinggi Majlis Konvokesyen. Dan diikuti dengan ucapan daripada Tetamu Kehormat Majlis, Yang Berhormat Menteri Pendidikan yang mana teks ucapan beliau dibacakan oleh Yang Mulia Timbalan Menteri Pendidikan.

     

    Majlis tersebut juga diserikan dengan persembahan tausyeh dan gulingtangan yang disembahkan oleh para pelajar Politeknik Brunei. Dalam majlis tersebut, enam (6) orang pelajar terbaik menerima anugerah-anugerah berikut:

     

    • 1. Dayang Nurol Azfizah binti Mohammad Roszaimey,

    •     Diploma Lanjutan dalam Kejuruteraan Telaga

          Kategori Pertama: Anugerah Pelajar Terbaik (Secara Keseluruhan)

      Dan

          Kategori Kedua: Anugerah Akademik Cemerlang bagi Sekolah Sains dan Kejuruteraan.


    • 2. Dayang Fatin Nabilah binti Haji Mohd Yusop

    •     Diploma Lanjutan dalam Pemasaran Peniagaan

          Kategori Kedua: Anugerah Akademik Cemerlang bagi Sekolah Perdagangan


    • 3. Nur E’zzati Hasyimah binti Roslan

    •     Diploma Lanjutan dalam Media Digital

          Kategori Kedua: Anugerah Akademik Cemerlang bagi Sekolah Teknologi Maklumat dan Komunikasi     (ICT)


    • 4. Awang Mohd Ikmal Hakim bin Haji Mohd Yunos

    •     Diploma Lanjutan dalam Perakauan Perniagaan

          Kategori Ketiga: Anugerah Cemerlang Aktiviti Pengayaan bagi Sekolah Perdagangan


    • 5. Awang Zunurazmi bin Haji Mohammad

    •     Diploma Lanjutan dalam Pengkomputeran Web

          Kategori Ketiga: Anugerah Cemerlang Aktiviti Pengayaan bagi Sekolah Teknologi Maklumat dan     Komunikasi


    • 6. Dayangku Siti Nurul Nur Ashikin binti Pengiran Junaidi

    •     Diploma Lanjutan dalam Rekabentuk Dalaman

          Kategori Ketiga: Anugerah Cemerlang Aktiviti Pengayaan bagi Sekolah Sains dan Kejuruteraan


    Majlis diakhiri dengan bacaan Doa Selamat diketuai oleh Yang Mulia Awang Haji Azrol Alim bin Haji Zaini, Pegawai Jabatan Hal Ehwal Masjid, Kementerian Hal Ehwal Ugama.

     

    Turut hadir Yang Mulia Dr. Hajah Romaizah binti Haji Md Salleh, Setiausaha Tetap (Pendidikan Teras), Yang Mulia Dr. Haji Azman bin Ahmad, Timbalan Setiausaha Tetap (Pengajian Tinggi), ahli-ahli Majlis Lembaga Pengelola PB, Naib Canselor-Naib Canselor, Rektor dan Ketua-Ketua Jabatan dari Kementerian Pendidikan serta para ibubapa, penjaga dan ahli keluarga para graduan.

     

    Maklumat Latarbelakang Mengenai Majlis Konvokesyen Pertama Politeknik Brunei

     

    Majlis Konvokesyen Politeknik Brunei yang kedua telahpun diadakan sebelum ini di tempat yang sama pada 28hb Januari 2016 yang lalu, di mana seramai 325 orang graduan dari sesi pengambilan ketiga telah menerima Diploma Lanjutan dalam pelbagai bidang dari Politeknik Brunei.

     

    - TAMAT -

     

 

search

Site Map | Terms of Use | Privacy | Disclaimer

© 2016 Politeknik Brunei. All Rights Reserved.