• UPACARA MAJLIS MENAIKKAN BENDERA NEGARA SEMPENA SAMBUTAN HARI KEBANGSAAN NEGARA BRUNEI DARUSSALAM KALI KE-32

  •  

    Selasa, 09 Februari 2016

     


     

    Bandar Seri Begawan, Hari Selasa, 09 Februari 2016 - Politeknik Brunei pada pagi ini tidak ketinggalan dalam mengadakan upacara majlis menaikkan bendera Negara Brunei Darussalam bersempena dengan Sambutan Hari Kebangsaan Negara Brunei Darussalam Kali Ke-32 tahun 2016. Majlis tersebut bertujuan untuk memeriahkan Sambutan Hari Kebangsaan Negara Brunei Darussalam Kali Ke-32 dengan meningkatkan penghayatan terhadap kemerdekaan tanahair Negara Brunei Darussalam serta mengukuhkan semangat patriotik dan cintakan negara.

     

    Upacara tersebut telah diadakan di hadapan bangunan kampus utama Politeknik Brunei di Jalan Ong Sum Ping, Bandar Seri Begawan. Majlis tersebut telah disempurnakan oleh Yang Mulia Awang Alias bin Hj Abu Bakar, Pemangku Penolong Pengarah Politeknik Brunei selaku tetamu kehormat majlis. Turut hadir menyaksikan acara penaikan bendera iaitu Kapten Hasnan Bin Haji Manan, Pemangku Pegawai Pemerintah Pasukan Kadet Tentera.

     

    Aturcara majlis bermula dengan penyerahan bendera Negara Brunei Darussalam kepada Pasukan Tentera Kadet Politeknik Brunei dan diikuti dengan upacara menaikkan bendera negara diiringi dengan nyanyian Lagu Kebangsaan: Allah Peliharakan Sultan. Upacara tersebut seterusya dimeriahkan lagi dengan nyanyian lagu patriotik, Berkibarlah Bendera, dengan penuh bersemangat dan diakhiri dengan bacaan doa kesyukuran.

     

    Majlis tersebut telah dihadiri oleh semua warga Politeknik Brunei termasuklah Ketua-Ketua Jabatan dan Sekolah, para pensyarah, kakitangan dan pelajar-pelajar dari Politeknik Brunei. Majlis ini telah dianjurkan oleh Majlis Pelajar-Pelajar Politeknik Brunei dengan usahasama Jabatan Hal Ehwal Pelajar, Pusat Perkembangan dan Inovasi Pelajar, dan Pasukan Tentera Kadet Politeknik Brunei.

     

    Antara acara-acara lain yang akan dikendalikan oleh Politeknik Brunei bersempena dengan Sambutan Hari Kebangsaan Negara Brunei Darussalam Kali Ke-32 tahun ini adalah Majlis Membaca Yassin dan doa kesyukuran serta solat Zuhur berjemaah yang akan diadakan di Surau Kampus Utama Politeknik Brunei pada 22 Februari 2016 nanti.

     


 

search

Site Map | Terms of Use | Privacy | Disclaimer

© 2015 Politeknik Brunei. All Rights Reserved.